RUKUN KIMARAGANG

>> Monday, December 14, 2009

TEKS UCAPAN JANATHAN KANDOK, PRESIDEN PERTUBUHAN KIMARAGANG MALAYSIA, SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PERTUBUHAN KIMARAGANG MALAYSIA, DI DEWAN MOSOLOG, TANDEK PADA 13 DISEMBER, 2009

Saya, berbesar hati pada petang ini, bercakap bagi pihak Majlis tertinggi Pertubuhan Kimaragang Malaysia mengalu-alukan kehadiran Y.Bhg MEJAR KEHORMAT Abdul Latiff Kandok, Penasihat Pertubuhan Kimaragang Malaysia.

Sesungguhnya kehadiran Y.Bhg dalam majlis yang bersejarah ini amatlah bermakna kerana Y.Bhg merupakan lambang kepimpinan Kimaragang yang dinamik.

Hal ini dapat dikatakan dalam majlis yang mulia ini kerana Y.Bhg telah menampakkan contoh kepimpinan Kimaragang sejak remaja lagi melalui pencapaian cemerlang dalam Pengakap Malaysia yang telah membawa Anugerah King Scout oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam tahun 1971.

Kejayaan ini adalah petanda bahawa sebenarnya bangsa Kimaragang sudah lama mencapai taraf kepimpinan nasional.

Dalam majlis yang bersejarah ini, kami juga berbesar hati mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Y.Bhg di atas pengurniaan Ahli Memangku Negara oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong baru-baru ini.

Yang Berbahagia,
Hari ini adalah detik penting bagi bangsa Kimaragang kerana kita melancarkan Pertubuhan Kimaragang Malaysia.

Sesuai dengan kedudukannya yang bertaraf nasional pertubuhan ini mempunyai visi yang besar untuk membawa perubahan kepada bangsa Kimaragang.

Dalam hubungan ini, sekali lagi saya bercakap atas nama Majlis Tertinggi Pertubuhan Kimaragang Malaysia, mengucapkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Y.Bhg atas pemikiran besar dalam menentukan masa depan bangsa Kimaragang

Sesungguhnya kertas Kerja bertajuk Wawasan Kimaragang yang disampaikan sendiri oleh Y.Bhg dalam seminar Modal Insan Kimaragang pada 29.8.2008 telah membawa kepada penetapan visi pertubuhan ini iaitu bangsa Kimaragang yang bersatupadu, maju dan menarik menjelang tahun 2020.

Kami juga mendoakan supaya Yang Berbahagia dan seisi keluarga sentiasa mendapat limpahan Rahmat dan Keberkatan oleh Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Y.Bhg Penasihat,
Izinkan saya meneruskan ucapan kepada dif-dif, tetamu kehormat dan sekalian yang hadir dalam majlis ini.

Yang Berusaha, Jafree Dangus, Pengerusi Penganjur Majlis Pelancaran Pertubuhan Kimaragang Malaysia,
Yang dikasihi anakanda Datuk George Sangkin, mantan Ahli Parlimen Bandau,
Ayahanda Tuan Haji Madina Unggut, Mantan Ahli Parlimen Bandau,
Ayahanda Tuan Haji Omar Majun, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Tandek
Albert Surubi Adun, Mantan ADUN Lantikan
Yang dihormati Tuan Haji Zulkifli Majun, Tokoh Politik Kimaragang,
Dr. Jurin Gunsalam, Timbalan Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia,
Jason Majimal, Naib Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia,
Rozan Haji Zulkifle, Bendahari Agong, Pertubuhan Kimaragang Malaysia,
Ketua Kampung Mosolog
Pengerusi JKKK Mosolog
Wakil-Wakil Pertubuhan Sukarela
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Kimaragang Malaysia
Saudara-Saudara yang saya kasihi sekalian,

Assalamulaikum waramatulah dan salam TRANSFORMASI KIMARAGANG!

Hari ini, dalam majlis bersejarah ini, saya DIDORONG oleh tanggungjawab yang besar, untuk bercakap tentang masa depan bangsa Kimaragang.

Dalam masa yang masa, saya berasa RENDAH HATI, bercakap di hadapan pemimpin-pemimpin yang bijaksana dan berpengalaman dalam memimpin bangsa Kimaragang.

Kerana itu, saya minta ampun dan maaf jika susunan kata-kata saya tidak manis, tidak beretika, atau kedengaran janggal dan tidak sesuai.

Sebelum datang ke Majlis ini, saya berdoa kepada Tuhan Yang Maha Kuasa supaya saya dapat menemukan kata-kata yang tepat untuk menyatakan perasaan hati saya supaya apa yang saya cakap dalam majlis ini akan sampai ke dalam hati seluruh bangsa Kimaragang, supaya bangkit memperkasakan bangsa Kimaragang.

MINDA KIMARAGANG YANG MERDEKA

Saudara-saudara sekalian,
Pada petang ini, saya gembira sampaikan ucapan atas tema MEMPERKASAKAN BANGSA KIMARAGANG

Saya minta maaf jika saya salah pilih tema. Mungkin ada yang fikir bangsa Kimaragang sudah hebat dan tidak perlu diperkasakan lagi.

Memang kita akui, bangsa Kimaragang sudah hebat,tapi apa yang kita mahu ialah kehebatan bangsa Kimaragang yang terbangun oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dipertingkatkan lagi supaya bangsa Kimaragang muncul sebagai bangsa yang besar di dunia.

Soalnya adakah k i t a sudah bersedia menjadi bangsa yang besar? Mungkin ada yang bilang, pada masa ini bangsa Kimaragang belum bersedia sebab masih ada kelemahan dan kekurangan.

Masih ada Kimaragang yang miskin.
Masih ada Kimaragang yang buta huruf.
Masih ada tanah Kimaragang yang terbiar.
Masih ada Kimaragang yang belum ada TV.

Namun, adakah kita menunggu sehingga semua Kimaragang menjadi hebat barulah kita bersedia menjadi bangsa yang besar?

Kalau begitu,sampai bila-bila masapun kita tidak bersedia menjadi bangsa yang besar.

Nampaknya, kita mesti buat keputusan sekarang.

Kita mesti bertindak untuk menjadi bangsa yang besar bermula hari ini.
Saudara-saudara sekalian,
Untuk jadi bangsa yang hebat,bangsa Kimaragang mesti punya minda yang merdeka.

Sudah tiba masanya kita lahirkan bangsa Kimaragang yang merdeka mindanya, merdeka pemikirannya.

Apakah benar pemikiran kita tidak merdeka? Cuba kita uji fikiran kita. Jika tiba waktunya, Tandek menjadi satu daerah,

apakah kita berani namakannya sebagai Daerah Kimaragang?

Atau apakah kita berani cadangkan N.5 Tandek kepada N.5 Kimaragang?

Jika kita teragak-agak menjawabnya, itu mungkin petanda bahawa minda kita masih belum merdeka sepenuhnya. Masih takut-takut bersuara.

Oleh itu, pada tahap ini, janganlah kita betengkar dalam hal ini. Sebaliknya marilah terima kebenaran bahawa kita memang belum merdeka minda sepenuhnya.

Saudara-saudara sekalian,
Apakah syarat untuk menjadi minda yang merdeka?

Hanya tiga syarat untuk jadikan minda Kimaragang merdeka.

Pertama, kita perlu sedar bahawa kita memang ada bumi sendiri tempat berpijak.

Kedua, kita mesti sedar bahawa bangsa Kimaragang ingin bersatu.

Ketiga, mesti ada mekanisma yang kuat untuk gerakkan perjuangan bangsa Kimaragang.

Kesemua syarat ini memang ada pada kita,dan hari ini kita mula usahakan supaya minda bangsa Kimaragang jadi merdeka.
RUKUN KIMARAGANG

Saudara-saudara sekalian,
Sesudah saya cakap tentang minda Kimaragang yang merdeka,maka sekarang saya bercakap tentang rukun-rukun yang memandu bangsa Kimaragang menuju bangsa besar.

Izinkan saya namakan rukun ini sebagai RUKUN KIMARAGANG.

Sebelum saya jelaskan rukun ini, sebaiknya kita tanya: Mengapa perlu ada rukun untuk bangsa Kimaragang?

Rukun ini adalah panduan utama untuk memimpin Wilayah Kimaragang.

Jika kita pimpin bangsa ini dengan rukun yang tidak tepat maka bangsa ini tidak dapat dibangunkan mengikut keperluan sebenar bangsa ini dan negara Malaysia.

Bayangkan jika tidak ada rukun yang memandu kita membangunkan bangsa ini, sudah tentu bangsa ini akan terombang ambing entah di mana mahu dituju.

Tegasnya, rukun ini adalah sumber menetapkan perjuangan yang TEPAT bagi bangsa Kimaragang.

Saya sebenarnya ditekan oleh satu kepercayaan bahawa untuk menjadi pejuang bangsa Kimaragang yang berkesan, perjuangan di peringkat wilayah Kimaragang hendaklah ditetapkan oleh bangsa sendiri berpandukan kepada rukun yang ditetapkan sendiri oleh bangsa Kimaragang.

Hal ini perlu dilakukan supaya perjuangan tetap selari dengan kehendak bangsa Kimaragang dan perjuangan negara.

Oleh kerana rukun ini digunakan oleh pemimpin bangsa Kimaragang, maka terlebih dahulu, Wilayah Kimaragang mesti ditetapkan.


Kita mesti tetapkan Wilayah Kimaragang.
Dalam hal ini, kita harus tegas dan berani.

Kita mesti tahu di mana sempadan kita, supaya tidak KACAU wilayah orang.

Jadi di mana Wilayah Kimaragang?
Kimaragang bukan sahaja di Tandek, malahan di Pitas. Maka sudah pasti Wilayah Kimaragang merangkumi semua kawasan yang ada orang Kimaragang.

Hal ini, mesti kita tetapkan sebab bersangkutan dengan rukun pertama iaitu nasionalisme Kimaragang.

NASIONALSIME KIMARAGANG

Syarat untuk menjadi bangsa besar di dunia,bangsa itu mesti berani tetapkan Wilayahnya sendiri

Soalan penting yang perlu dijawab pada petang ini ialah:Apakah maksud bangsa Kimaragang?
Apakah syarat Kimaragang layak disebut sebagai bangsa?

Kita memang layak disebut sebagai bangsa Kimaragang kerana kita adalah himpunan manusia yang mempunyai kehendak untuk bersatu.

Kita mempunyai perangai yang sama,malahan mempunyai pertalian kekeluargaan.

Bagi saya, menyebut bangsa Kimaragang, cepat terbayang suatu himpunan keluarga yang besar yang tidak sukar dikesan pertalian keluarga.

Kita juga memang layak disebut sebagai satu bangsa sebab kita mempunyai bumi sendiri tempat dipijak.

Memang, tidak dapat dipisahkan Kimaragang dari bumi yang ada di bawah kaki kita sekarang ini.

Inilah Tanah Kimaragang.

Nenek moyang kita pernah pijak bumi ini. Inilah bumi kita.

Apakah yang dimaksudkan dengan bumi tempat berpijak? Apa lagi jawabannya selain tanah air. Tanah air adalah satu kesatuan sesuatu bangsa. Oleh itu, bangsa Kimaragang perlu tahu di mana tanah air mereka. Hanya sesudah sedar di mana tanah air Kimaragang, barulah kita mudah bersatu.

Kalau kita lihat peta dunia, kita dapat tunjukkan di mana tanah air bangsa Kimaragang. Lihatlah Peta Sabah dan kita dapati di hujung Sabah ini, di utara bentuknya seperti KEPALA SERIGALA yang garang.

Di situlah letaknya tanah air kita pada bahagian telinga serigala ini. Oleh itu dengarlah kata saya bahawa Wilayah Kimaragang adalah meliputi suatu kawasan yang luas dari Tandek hingga ke Pitas.

Kawasan ini bukan sahaja luas, malahan lebih luas dari negara kecil yang terdapat di dunia.

Jika kita rajin sedikit meneliti peta Sabah kita dapati terdapat sedikit kawasan laut dalam Wilayah Kimaragang.

Kawasan ini penting kerana gandingan kepada sungai-sungai, tasik-tasik, dan wasai-wasai yang indah di merata tempat di bumi Kimaragang.

Oleh itu itu, Kimaragang yang berada di Kampung Kecil Longob, Mosolog, Talantang, Tingkalanon, Morion, Damai, Kuranji, Tarangkapas, Pinggan-Pinggan, dan Dandun dan sebagainya tidak boleh terpisah-pisah.

Bangsa Kimaragang tidak patut puashati setakat ada kampung-kampung yang kecil kerana tujuan kita ialah bersetuju tentang adanya satu Wilayah Kimaragang yang luas dan berwibawa.

Sebenarnya bangsa Kimaragang ialah seluruh manusia yang, menurut geo-politik bangsa ini jumlahnya sekitar 100,000 orang.

Jumlah ini bukan sahaja besar, malahan melebihi jumlah penduduk sebuah negara kecil di dunia. 100,000 orang ini mestilah punya kehendak mahu bersatu.

Ke sini lah kita semua harus menuju: Mendirikan satu Wilayah Kimaragang, di atas kesatuan bumi KIMARAGANG dari Pitas hingga ke Tandek.

Saya yakin, apabila kita sudah tetapkan Wilayah Kimaragang maka mulalah kita bercakap:Rupanya sungai Pukaan adalah sungai Kimaragang.

Rupanya tangon Odu Om Kokian adalah sastera rakyat Kimaragang.
Rupanya, bunga saradan adalah bunga rasmi Wilayah Kimaragang. Rupanya, burung turipos adalah burung rasmi Kimaragang.

Selepas ini, jika gunung-gunung, banjaran-banjaran, tasik-tasik besar, dan jalan-jalan utama di Wilayah Kimaragang belum ada namanya maka marilah kita namakan dengan nama yang hebat.

Ini perlu dilakukan sebagai simbol kewujudan bangsa Kimaragang di bumi sendiri.

Nama-nama yang hebat itu yang diangkat dari nama pemimpin-pemimpin lalu akan menghubungkan Kimaragang sekarang dengan Kimaragang zaman lampau.

Dengan cara ini, bangsa Kimaragang tidak akan hilang di dunia.

Dengan cara ini, ketuanan bangsa Kimaragang di bumi sendiri lebih nampak dan berwibawa.

Kehendak mahu bersatu atas nama bangsa Kimaragang dan Wilayah Kimaragang adalah rukun pertama untuk memimpin Wilayah Kimaragang.

Marilah kita namakan rukun pertama ini sebagai nasionalisme Kimaragang.

I N T E R N A S I O N A L I M E KIMARAGANG
Saya sedar tentang bahayanya rukun ini dalam jangka masa panjang.

Mungkin bangsa Kimaragang mudah kecilkan skop nasionalisme kepada CHAUVINISME, sehingga percaya bangsa Kimaragang adalah bangsa yang paling pintar jika dibandingkan dengan bangsa lain.

Inilah bahayanya! Kita cinta Wilayah Kimaragang yang satu, rasa berbangsa yang satu,punya bahasa yang satu.

Tetapi ingatlah bahawa Wilayah Kimaragang hanyalah satu bahagian kecil saja dari BUMI MALAYSIA! Jangan kita berdiri di atas KEPERCAYAAN bahawa bangsa-bangsa lain dalam Wilayah Kimaragang tidak sama taraf dengan kita.

Saudara-saudara sekalian, Jangan berkata, bahwa bangsa Kimaragang yang terbagus dan termulia, serta meremehkan bangsa lain.

Kita harus menuju PERPADUAN MALAYSIA, dan PERSAUDARAN DUNIA.

Kita bukan saja mesti mendirikan Wilayah Kimaragang merdeka minda, tetapi kita mesti menuju pula kepada KEKELUARGAAN BANGSA-BANGSA LAIN DI MALAYSIA DAN DI DUNIA.

Ini membawa kita kepada rukun yang kedua iaitu Internasionalisme Kimaragang.

Internasionalisme Kimaragang tidak dapat hidup subur kalau tidak tumbuh di dalam nasionalisme Kimaragang.

Demikan juga nasionalisme Kimaragang tidak dapat hidup subur kalau tidak hidup dalam internasionalisme Kimaragang.Keduanya tidak dapat dipisahkan.

Rukun Internasionalisme Kimaragang akan membawa bangsa Kimaragang, bangkit menjadi bangsa yang besar, merentasi sempadan, wilayah dan Negara.

Maknanya, pada mulanya pentas kita ialah Wilayah Kimaragang,

Kita menjadi hebat di sini atas semangat kebangsaan Kimaragang.

Apabila tiba saatnya kehebatan kita melimpah dan perlu pentas baru dan besar maka bangsa ini bergerak kepada Internasionalisme Kimaragang yang berpentaskan antarabangsa.
Maknanya, jika sangop dan batad kita menggunung seperti Nabalu maka sangop dan batad Kimaragang akan dieksport ke Amerika Syarikat, biar orang putih rasa kita punya sangop dan batad. Baru diorang tahu betapa sedapnya sangop dan batad kita, mungkin lebih sedap dari apple.

Jika kepimpinan Kimaragang diperlukan di luar negara, apa salah jika salah seorang dari kita di sini menjadi Duta Besar atau Menteri Luar.

Semuanya ini menjadi kenyataan jika nasionalisme Kimaragang terbangun terlebih dahulu.

Dua rukun Ini membawa kita kepada rukun yang ke tiga iaitu Perwakilan.

PERWAKILAN KIMARAGANG

Wilayah Kimaragang bukan satu wilayah untuk satu orang, bukan satu wilayah untuk satu golongan,tetapi kita tetapkan wilayah semua buat semua.

Saya yakin syarat mutlak untuk kuatnya Wilayah Kimaragang ialah rukun Perwakilan.

Di bawah rukun ketiga inilah, pemimpin-pemimpin Kimaragang mengambil peranannya.

Melalui rukun ini, definisi pemimpin bangsa Kimaragang diletakkan semula kepada makna sebenar.

Maksud sebenar pemimpin Kimaragang ialah memenuhi keperluan sebenar bangsa Kimaragang di bawah pimpinannya.

Ertinya, sesiapa juga memainkan peranan pemimpin dalam Wilayah Kimaragang adalah umpama JAMBATAN yang menghubung dan menyampaikan kepada pihak berkuasa keperluan sebenar semasa dan masa depan bangsa Kimaragang.

Maknanya, di samping memenuhi keperluan semasa, pemimpin mesti RASA, NAMPAK, DENGAR, dan HIDU keperluan bangsa Kimaragang di masa depan.

Apabila saya bercakap tentang masa depan, saya tidak merujuk kepada satu atau dua tahun akan datang.
Sebenarnya, saya merujuk kepada masa depan generasi muda Kimaragang.

Oleh itu, marilah bersama dengan Pertubuhan Kimaragang Malaysia memimpin kejayaan bangsa Kimaragang untuk 100 TAHUN akan datang.

Di bawah rukun ini, pemimpin tidak menunggu rakyat datang kepadanya, mengadu, merayu, minta kasihan tentang keperluannya, sebaliknya pemimpin berganding bahu dengan Pegawai Daerah membangunkan Wilayah Kimaragang.

Nampaknya, rukun perwakilan utamakan semangat gotong-royong.

Dalam bahasa kita, gotong-royong ialah MITATABANG.

Inilah nilai yang paling tepat dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Dengan MITATABANG apa yang patut DIBANGUNKAN pasti MEMBANGUN.

Apa yang DIIMPIKAN tetap MENJADI KENYATAAN kerana dalam MITATABANG TERSEMBUNYI kuasa KEBAIKAN yang boleh MENGHANCURKAN KEGAGALAN yang merugikan bangsa Kimaragang yang kita sayangi.

Dalam MITATABANG, pemimpin bangsa Kimaragang merancang untuk berjaya.

Ingatlah bahawa, jangan kerana sesuatu itu nampak mudah BERJAYA kita biarkannya begitu sahaja kerana kita percaya sesuatu yang NAMPAK BERJAYA itu akan BERJAYA juga akhirnya.

INI ADALAH ANGGAPAN YANG SALAH, kerana JIKA NIAT SESUATU BANGSA UNTUK BERJAYA TIDAK MENDAPAT PIMPINAN YANG TERANCANG.

KEJAYAAN LAMBAT DICAPAI. Oleh itu, kita mestilah MITATABANG dalam melakukan kebaikan untuk bangsa Kimaragang.

Tegasnya, rukun perwakilan ini menjamin bangsa Kimaragang mencapai impiannya menjadi bangsa yang merdeka minda, untuk menjadi bangsa yang besar di dunia.

KESEJAHTERAAN SOSIAL KIMARAGANG
Saudara-saudara sekalian,
Apalah gunanya jika bangsa ini mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi, jika golongan miskin terbiar begitu sahaja.

Apalah gunanya bangsa Kimaragang ini menjadi begitu hebat sehingga pemikirannya merentasi sempadan negara,jika golongan miskin tidak mendapat pembelaan.
Apalah gunanya jika bangsa Kimaragang punya pemimpin yang hebat dengan agenda yang besar jika golongan miskin masih terabai? Impian kita ialah Wilayah Kimaragang yang menggembirakan semua golongan.

Oleh itu, Wilayah Kimaragang memerlukan rukun yang keempat iaitu KESEJAHTERAAN SOSIAL KIMARAGANG. Kesejahteraan sosial Kimaragang maknanya tidak akan ada kemiskinan di dalam Wilayah Kimaragang.

Inilah impian kita.

Mungkin impian ini adalah impian semata-mata. Mana mungkin keinginan ini tercapai? Sebenarnya, kita bukan bercakap tentang kekayaan Kimaragang.

Pada tahap ini, Kita cuma bilang, tidak akan ada kemiskinan dalam Wilayah Kimaragang. Kita tidak bilang, semua Kimaragang mesti jadi jutawan.

Jika sekadar tidak miskin sahaja, maka itu bukan perkara mustahil dengan syarat kita ada rukun yang mentadbir isu ini.

Kita perlu rukun yang menjaga kepentingan golongan miskin Kimaragang supaya setiap kali pemimpin-pemimpin kita menetapkan agenda perjuangan, aspek kemiskinan bangsa Kimaragang tidak dilupakan.

BANGSA KIMARAGANG YANG BERTUHAN
Saudara-saudara sekalian,
Walau apapun usaha yang kita lakukan tidak dapat keberkatan, jika tidak disandarkan kepada kepercayaan kepada Tuhan.

Maknanya, bangsa Kimaragang hendaklah berpegang kepada rukun yang kelima iaitu percaya adanya Tuhan.

Pemimpin Kimaragang hendaklah memimpin Wilayah Kimaragang ini dengan bertakwa kepada Tuhan yang Maha Esa.

Rukun K e t u h a n a n ini bukan saja menjadikan bangsa Kimaragang bertuhan, tetapi masing-masing orang Kimaragang hendaknya bertuhan Tuhannya sendiri, mengikut kepercayaannya.
Kristian menyembah Tuhan menurut petunjuk Isa Al Masih, dan yang Islam bertuhan menurut petunjuk Nabi Muhammad S.A.W.
Tegasnya, marilah kita semua bertuhan.
Maknanya, hendaknya Wilayah Kimaragang ialah wilayah yang tiap-tiap orang dapat menyembah Tuhannya.

Dengan cara ini, segenap bangsa Kimaragang hidup aman damai kerana tiada egoisme agama.

Marilah kita amalkan agama MASING-MASING, baik Islam, maupun Kristian dengan cara yang beradab iaitu hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira anutan agama.

Dengan rukun ini, pemimpin-pemimpin bangsa Kimaragang dengan ikhlasnya menerima hakikat bahawa apa pun perbuatanya tidak terlepas dari pandangan Tuhan Yang Maha Esa, dan kerana itu, pemimpin bangsa Kimaragang tidak ada pilihan melainkan berbuat baik kepada bangsanya setiap masa.

Sekali lagi saya membuat pengakuan atas nama Majlis Tertinggi Pertubuhan Kimaragang Malaysia bahawa kami sedar, sesudah kami bercakap tentang kepimpinan Wilayah Kimaragang yang kami himpunkan secara terhormat dalam DEKLARASI TRONGSOKO, kini kami mempunyai kewajiban yang berat sekali untuk dipikul, tetapi Insya-Allah kami terima amanah yang berat ini dengan rasa tanggung jawab yang setinggi-tingginya demi bangsa Kimaragang yang kita sayangi.

Saya juga mengakui telah bercakap banyak pada hari ini seakan terlalu bijak mengatur Wilayah Kimaragang.

Oleh itu, saya mohon ampun dan maaf kerana cakap-cakap sedemikian adalah SOMBONG mengikut budaya kita Kimaragang.

Baru-baru ini ada SMS yang nakal dan saya atas nama pertubuhan Kimaragang Malaysia menafikan bahawa kami tidak ada kaitan dengan perbuatan itu. Kami ada perjuangan besar dan kami anggap perkara-perkara kecil itu jika dilayan adalah umpama mengatasi parit tersumbat. Jika masalah parit itu sudah selesai, tentulah boleh berbangga tetapi apakah masalah mengatasi parti tersumbat dapat membangunkan kimaragang? Jika isu SMS itu dilayan akan memakan masa yang banyak. Kami terdesak untuk menafikannya melalui laporan polis, dan kami telah membuang masa sekitar 12 jam dalam hal itu. Alangkah baiknya jika masa itu digunakan dalam perkara lain seperti menyiapkan kertas kerja untuk pembangunan bangsa Kimaragang. Mengatasi masalah itu sebagai mengurus kegagalan. Kami tidak mengurus kegagalan. Kami mengurus kejayaan, menjadikan bangsa Kimaragang bersatupadu, maju dan menarik.

Akhir kata, Saya mohon ampun dan maaf terutama sekali kepada semua pemimpin yang hadir di hadapan saya pada PETANG ini.


PETANGI INI, DENGAN JELAS DI MATA KITA TIBANYA SUATU HARI YANG BARU, DAN BAHAWA SINAR KEMERDEKAAN MINDA BANGSA KIMARAGANG YANG SUDAH LAMA KITA IMPIKAN, SUDAH TERBIT DI WILAYAH KIMARAGANG.

Tadau diti,
aimot no sid mato tokou,
nokorikot noh tadau wagu
om waro no itu cahaya dot kebebasan dot pomikiran tulun dot kimaragang
it olaid no indadan,
noko silau no siti pomogunan kimaragang.

T R A N S F O R M A S I K I M A R A G A N G !
T R A N S F O R M A S I K I M A R A G A N G !
T R A N S F O R M A S I K I M A R A G A N G !

1 comments:

Anonymous December 17, 2009 at 9:23 PM  

Tahniah...Ini adlah satu ucapan yang dinanti-nantikan oleh bangsa Kimaragang..SOKONG

Lorem Ipsum

About This Blog

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP